Monday, May 28, 2007

R` ESQ : MINDA POSITIF

Anda adalah apa yang anda fikirkan. Segala fikiran anda akan membentuk tingkahlaku yang anda inginkan. Kalau kejayaan yang anda fikirkan, maka anda akan membentuk pemetaan minda yang melahirkan tingkahlaku yang membawa kepada kejayaan.

Menurut Wellington, apa sahaja yang ada pada diri anda dan persekitaran anda yang berbentuk alami telah ada dalam kotak fikiran anda. Seumpama sebuah komputer yang telah mempunyai cips kecerdasan yang begitu tinggi, hanya memerlukan sistem daya dan keupayaan untuk membuka suisnya.

“Dan Dia (Allah) mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat, lalu (Allah) berfirman: Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar! Mereka menjawab: Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Baqarah : ayat 31-32).

Untuk memetik suis minda, anda mempunyai dua pilihan. Pilihan pertama, ‘on’ bermakna menghidupkan minda. Pilihan kedua, membiarkan suis itu tertutup. Ibarat lampu yang mempunyai arus elektrik, untuk memanfaatkan cahaya lampu, suis mesti dibuka terlebih dahulu (on). Kalau dibiarkan tertutup, tiada gunanya kewujudan lampu, bilik tetap gelap.

Di dalam diri manusia tetap ada arus elektro magnetik (bio-elektrik). Untuk mendapat manfaat daripada arus elektro magnetik ini, suis mesti dibuka. Suis pada bio-elektrik ini terletak kepada minda yang positif. Minda yang negatif menutup arus elektro magnetik ini daripada menjadi sumber tenaga yang menggerakkan chemistry di dalam tubuh manusia.

Tubuh manusia merupakan satu set keajaiban rangkuman cips kecerdasan yang diciptakan oleh Allah SWT yang cukup hebat. “Sesungguhnya manusia itu diciptakan di dalam sebaik-baik kejadian (sehebat-hebat kejadian)” (Surah al-Tiin, ayat 4).

Menurut seorang pakar ginekologi, ketika bayi sudah cukup waktu untuk dilahirkan, kedudukan bayi akan berada di dalam posisi menelangkup (sujud) dengan kepalanya di bawah. Apabila dilakukan ujian scanning, terdapat seperti ada cahaya di bahagian tengah otak. Dalam kedudukan menelangkup begitu, memudahkan aliran darah yang membawa oksigen untuk sampai ke saraf dendrit di bahagian Septum Pellucidum (Joy Centre).

Apakah chemistry ini yang menyebabkan bayi itu berkeupayaan untuk lahir ke muka bumi?. Persoalan ini sebenarnya membawa kita kepada pembuktian bahawa minda yang positif membawa kepada kegembiraan dan keseronokan (activating the Joy Centre - Septum Pellucidum).

Tekanan dan ketegangan mental dan emosi yang menimbulkan pelbagai masalah kemurungan, susah hati, kecewa, rasa diabaikan, tersisih, sunyi sehingga kepada skizofrenia dan psikotik berpunca daripada fikiran yang negatif yang mengganggu ketenangan hati.

Dengan kata lain, ketegangan yang berpunca daripada minda yang negatif menutup sistem tenaga dalam tubuh individu. Apabila sistem tenaga bio-elektro magnetik terputus, maka gelaplah di dalam tubuh individu. Dalam kegelapan, semua sistem di dalam tubuh individu secara biologinya tersekat dan peringkat lebih kronik lagi mungkin terhenti!.

Sistem penghazaman terganggu menyebabkan asid hidroklorik tidak berfungsi dengan betul mengakibatkan sakit perut, gastritis dan meningkatkan tahap toksid. Sistem penghazaman mengganggu sistem perkumuhan. Makanan yang tidak dapat dihazam dengan baik dan tidak dapat dilepaskan keluar lebih daripada 48 jam akan masuk ke dalam saluran darah dan dibawa ke seluruh tubuh individu. Toksid ini menjadi mucus dan mengganggu sistem pernafasan. Nafas yang terganggu akan tersekat dan aliran darah yang anemic menyebabkan darah yang membawa oksigen ke otak tidak berkualiti. Kekurangan oksigen di bahagian otak (acus senilis) menyebabkan fungsi minda terganggu.


Allahu nur us-sama wa tiwal-ardh” (Allah adalah cahaya langit dan bumi). Sumber cahaya (bio-elektro magnetik) dari sumber yang satu (Allah). Allah SWT yang menjadikan alam ini daripada penuh cahaya yang berwarna-warni dan terang.

Cahaya adalah petunjuk daripada Allah SWT. Demi untuk mendapat petunjuk daripada Allah, minda kita perlu positif. Minda yang positif akan menimbulkan keyakinan pada hati kita terhadap apa yang kita hajati. Hajat kita tentulah set matlamat yang kita inginkan. Keinginan merupakan kehendak (wants) yang kita ingin capai. Pada peringkat kehendak belum boleh menggalakkan minda untuk menjadi tingkahlaku (amal) untuk bertindak.

Satu tahap lagi yang diperlukan ialah menerjemah kehendak kepada keperluan (needs). Kejayaan mewujudkan keperluan, barulah melahirkan set nilai. Set nilai inilah yang bakal menggerakkan tingkahlaku berjaya menuju kepada target dan sasaran yang kita letakkan. Kehendak (wants), keperluan (needs) dan nilai (value) membentuk satu kepercayaan diri untuk melakukan sesuatu dengan penuh kesungguhan.

Hukum kejayaan ialah mewujudkan minda yang positif tanpa mekanisme bela diri yang sering menjadi kebal dengan alasan demi alasan untuk tidak melakukan tindakan. Mekanisme bela diri inilah yang sering menukar tenaga positif minda menjadi lemah dan berakhir dengan tertutupnya pintu dan suiz kejayaan.

Kesimpulannya, minda yang positif membuka aliran cahaya bio-elektromagnetik untuk memberi tenaga kepada tubuh manusia untuk mencapai tahap kecerdasan emosi dan spiritual yang tinggi. Tenaga yang wujud daripada keseimbangan ESQ ini meledakkan tindakan kimia (chemistry tubuh) untuk melakukan anjakan paradigma dalam bentuk tingkahlaku kejayaan (al-falah) dan prestasinya boleh diukur daripada aktiviti Septum Pellucidum (Joy Centre). Pusat keceriaan yang disebut sebagai “naasyiyyah” (Surah al-Alaq, ayat 14 dan 15) yang tentunya mempunyai segala potensi untuk mengarah segala sistem dan saraf dalam diri manusia untuk mencapai “self-actualization” (insan al-kamil).

Justeru itu, janganlah kita tunggu sehingga Allah menarik nikmat ‘naasyiyyah’ disebabkan kita kufur nikmat, tidak memanfaatkan kehebatannya untuk merongkaikan segala kekuatan dan potensi yang Allah SWT anugerahkan kepada kita. Aktifkanlah otak kita secara positif sebagai tanda syukur kita pada nikmat yang Allah berikan kepada kita demi kelansungan diri dan generasi yang sentiasa mencari keredhaan Allah. Minda yang positif melahirkan hati yang tenang dan tindakan serasi gerak hati yang mendapat petunjuk daripada Allah.

No comments: